Penulis: Nurul Ain Syuhada
Terbitan: Karya Seni Enterprise
Jumalah Halaman: 596 muka surat

"Oi cicak kobeng! Ayat aku tu! Yang kau sibuk-sibuk ciplak buat karya sendiri pulak apehal? Ayat aku tu milik aku secara rasmi tau tak!" Aku semburkan ayat-ayatku di hadapan wajahnya.

Nur Alia Airysha, seorang gadis yang datang sari kampung ke Kuala Lumpur dengan niat untuk mengumpul duit demi keluarga dan membiayai kos pembelajarannya. Dengan bantuan sahabat alongnya, Kak Yati, Airysha bekerja di sebuah butik terkemuka yang dimiliki oleh Datin Aleeya. Muhammad Danial Franz, seorang pemuda kacukan Perancis yang berkelulusan dari luar negara kembali ke Malaysia dan bekerja di bawah papanya, Dato' Eddy di sebauh syarikat besar. Menemukan Airysha yang brutal dengan Danial di butik mami Dania, Datin Aleeya! Danial ingin dapatkan Airysha tanpa merendahkan egonya. Danial membawa Airysha untuk bertemu orang tuanya untuk dikahwinkan. Tetapi perkahwinan ini bersyarat! Kontrak yang direka Danial di pandang remeh oleh Airysha.

Disaat akad nikah hampir tiba, Airysha menyusun strategi untuk lari! Airysha mengambil keputusan untuk membatalkan kontrak tersebut. Lantas sekeping kertas yang tertera kontraknya, dibuang. Apa yang bakal terjadi seterusnya? Adakah perkahwinan masih diteruskan? Bagaimana kehidupan Airysha selepas ini? Bahagiakah dia? Bagaimana pula penerimaan Danial terhadap perangai brutal Airysha? Bila senduk bertemu kuali, bila api bertemu sumbu bom, apa yang akan terjadi?

"Kontrak! Kontrak! Kontrak! Itu aje yang kau tau nak sebut? Yelah! Yelah! Aku yang buang. Aku tak puas hati dengan syarat-syarat dia. Ada ke aku sebagai seorang perempuan, kena tido atas sofa? Kau ni manusia takde hati, takde perut!" selorohku. Dalam masa yang sama, aku cuba melepaskan diri daripada rangkulannya. Danial mendengus perlahan.

Penulis: Zahiruddin Zabidi
Terbitan: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Jumlah Halaman: 464 muka surat                                 

Inilah tiga kisah indah berkenaan seindah-indah hiasan dunia, perempuan yang solehah. Kisah yang menerbitkan air-mata, yang melahirkan syukur dan menyuntik tenang. Kisah riwayat hidup Aminah, Fatimah dan Rabiatul Adawiyah.

Sejurus melabuhkan muka surat terakhir buku ini, teringin rasanya hati berkongsi dengan pembaca sekalian penceritaan riwayat hidup serikandi-serikandi hebat ini. Aku begitu tertarik dengan kisah Rabiatul Adawiyah. Beliau merupakan seorang yang telah diangkat darjatnya menjadi sorang wali di sisi Allah s.w.t. Merupakan puteri bongsu daripada empat adik beradik.Anak kepada Ismail al-Adawiy yang merupakan seorang guru agama pada zamannya. Kecerdikan dan keluhuran hatinya untuk mendalami ilmu Allah telah membezakannya daripada kanak-kanak lain yang seusianya. sejak berumur 10 tahun, beliau telah menghafal 30 juzuk al-quran. Menerima pelbagai ujian bermula dengan kematian kedua ibu bapanya. Diikuti dengan kisah penculikannya dan kemudiannya dijual sebagai hamba dan beberapa ujian-ujian lain lagi.

Kecintaannya kepada Allah melebihi segala-galanya hingga menolak setiap lamaran yang diterimanya hatta lamaran seorang raja kerana tidak mahu masanya bersama kekasihnya diganggu. Beliau juga sanggup berlapar daripada menerima pemberian orang yang pada hematnya belum terjamin lagi halal dan haramnya. Beliau mempunyai budi pekerti yang baik, luhur bicaranya, serta mempunyai kecerdikan yang sangat mengagumkan sehingga guru-gurunya kembali berguru dengannya.

Tahajjud dan amalan-amalan sunat menjadi bekalannya saban waktu. Pada malam hari hanya seketika sahaja masa yang diperuntukan olehnya untuk berehat. Selebihnya digunakan untuk beribadat dengan kekasihnya. Beliau sering berkata:

"Wahai diri ini,
Banyak mana masa untuk tidur?
Sampai bilakah dirimu terlelap?
Saat yang dijanjikan sudah hampir sahaja.
Saat akan ditidurkan kamu hingga dipaksa bangun pada hari kiamat."

Mampukah kita menjadi seperti serikandi-serikan ini? Beberapa jam berlalu tidak kurasakan apabila membaca riwayat kisah-kisah mereka. Sesungguhnya kisah-kisah begini harus dijadikan ikutan dalam meniti arus kemodenan semasa. Kerendahan dan keluhuran diri bermula daripada hati yang suci dan iman yang sejati.
Assalamualaikum pembaca sekalian.
Lembaran catatan 2012 aku mulakan apabila Jun menjelma.
Walaupun catatan 2012 hanya dimulakan setelah Jun tiba, tidak bermakna minat membaca dan kecintaanku terhadap buku dan ilmu telah ku abaikan.
Komitmen dan tanggungjawab semakin bertambah sejak ku bergelar pelajar semula.
Desakan dan tekanan kerja sebagai guru semakin bertambah apabila memegang gelaran guru 'senior'.
2012 merupakan tahun ketiga aku bergelar guru. Semakin lama aku bekerja, semakin bertambah keyakinan dan kepercayaan yang diberikan untuk memegang pelbagai jawatan. 
Ini semua tidak menghalang minatku untuk membaca.
Namun untuk ku coretkan di sini agak membataskanku.
Ditambah pula dengan tugasanku sebagai seorang pelajar yang harus ku selesaikan.

Bagaimanapun, inginku sampaikan disini, teruskanlah membaca, ambillah seberapa banyak ilmu yang ada, tingkanlah keupayaan berfikir serta janganlah lokek untuk berkongsi kerana sesungguhnya semua itu daripada Allah. Amatlah rugi sekiranya kita tidak mengambil iktibar dan manfaat daripada ilmu yang ada. Ingatlah, dengan ilmu sahaja yang dapat membezaka kita dengan mereka yang tidak berilmu. Dengan ilmu juga lah yang dapat membantu kita menjadi sebaik-baik insan di dunia dan akhirat. 

 Penulis : Mitch Albom
Terbitan : PTS Litera Utama Sdn Bhd
Jumlah Halaman : 247 Muka Surat

For One More Day adalah kisah mengenai seorang ibu dan seorang anak, sebuah perhubungan yang tidak berpenghujung. Ia membuatkan kita berfikir akan persoalan "Apakah yang akan kita lakukan jika kita diberi peluang melalui semula " Apakah yang akan kita lakukan jika kita diberi peluang untuk melalui semula satu hari bersama orang yang kita sayang yang sudah pun pergi?"

Semasa kecil, Charley Benetto diberi pilihan oleh ayahnya, "Kamu boleh menjadi anak ibu ataupun anak ayah, tetapi tidak boleh menjadi kedua-duanya." Dengan itu, Charley memilih menjadi anak ayah. Dia begitu menyanjungi sang ayah sehinggalah pada suatu hari, lelaki itu meninggalkan keluarga mereka. Charley yang ketika itu berusia sebelas tahun terpaksa beralih menjadi anak ibu pula. Ibu yang gigih membesarkan Charley dan adiknya sendirian, meskipun Charley begitu mengharapkan kehidupan berkeluarga yang lengkap.
 Penulis : Ramlee Awang Murshid
Terbitan Alaf 21
Jumlah Halaman : 547 Muka Surat

Saifudin - Muncul semula dari Tasik Hulu Melaka setelah enam purnama dalam pengawasan dan rawatan Hang Tuah. Pengembaraan pun bermula ke Negeri Atas Angin untuk memburu Taghut durjana. Pelayaran telah mengundang banyak pancaroba. Namun, dia tetap berazam dan bertawakal memburu musuh yang telah banyak menyesatkan manusia.

Raja Roman - Setelah Sang Petala berlepas diri, Taghut terkapai-kapai hilang kesakitan. Lebih mendukacitakan apabila dia kematian permaisurinya...Sutera. Namun, dia masih berazam untuk menghapuskan Laksamana Sunan sehingga ke hujung nyawa.

Makhluk Sumpahan - Sang Dewi muncul akibat sumpahan Maharani Pulau Utara sebelum kerajaan itu runtuh suatu waktu dahulu. Sang Dewi menyeru nama Saifudin menerusi lontaran suara naluri. Sang Dewi kerap memerangkap Saifudin ke alam tidak berdinding.

Saifullah - Pada abad ke-21 ini, dia memburu sisa kejahatan yang berlanjutan dari tahun 1511. Abid Kamal dan Shahril turut menyertainya kerana Saifullah mirip Saifudin yang pernah hidup pada tahun 1511.
Penulis : Suzana Ghazali
Terbitan : Buku Prima
Jumlah Halaman : 334 Muka Surat

Banyak kisah hidup orang lain yang boleh anda jadikan ikhtibar dan pengajaran kerana pengalaman sama ada daripada sesiapa juga, adalah sekolah kehidupan yang paling tinggi harganya. Baca, penuhi minda dengan ilmu berguna, insya-Allah anda takkan menyesal.
Penulis : Abdul Latip Talib
Terbitan : PTS Litera Utama
Jumlah Halaman : 250 Muka Surat

Nama sebenarnya An-Nukman bin Thabit lahir pada tahun 80 hijrah/699 masihi di sebuah kampung bernama Anbar di daerah Kufah, Baghdad. Mendapat gelaran Abu Hanifah kerana mempunyai seorang anak bernama Hanifah. Tetapi ada pula yang mengatakan beliau suka membawa dakwat ke mana sahaja beliau pergi lalu digelar Hanifah bererti dakwat dalam bahasa Parsi. Kemudian beliau lebih dikenali sebagai Imam Hanafi.

Beliau berkata "Aku memberi hukum berdasarkan al-Quran. Sekiranya tidak terdapat dalam al-Quran aku gunakan hadis. Jika tidak terdapat pada keduanya (al-Quran dan hadis) aku gunakan pendapat para sahabat Rasulullah SAW. Aku berpegang pada pendapat siapa sahaja daripada mereka dan membuang mana-mana pendapat yang bertentangan dan aku berpegang pada pendapat yang benar sahaja."

Beliau dikurniakan umur yang panjang. Beliau sempat hidup di bawah pemerintahan kerajaan khalifah Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah.

Beliau terkenal sebagai seorang yang ahli dalam ilmu fikah dan tauhid. Beliau belajar daripada lebih 200 ulama yang terbilang pada masa itu. Antaranya Abdullah bin Umah, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Masud. Beliau juga sangat terkenal dengan kebolehan berdebat. Kebolehan itu sangat dihormati lawan dan kawan.

Beliau meninggal dunia di dalam penjara pada tahun 150 hijrah ketika berumur 70 tahun. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan al-Khaizaran yang terletak di timur kota Baghdad. Novel ini menceritakan dengan lebih lanjut siapa Imam Hanafi dan mengapa beliau dianggap sebagai pendebat kebenaran.