Penulis: Zahiruddin Zabidi
Terbitan: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Jumlah Halaman: 464 muka surat                                 

Inilah tiga kisah indah berkenaan seindah-indah hiasan dunia, perempuan yang solehah. Kisah yang menerbitkan air-mata, yang melahirkan syukur dan menyuntik tenang. Kisah riwayat hidup Aminah, Fatimah dan Rabiatul Adawiyah.

Sejurus melabuhkan muka surat terakhir buku ini, teringin rasanya hati berkongsi dengan pembaca sekalian penceritaan riwayat hidup serikandi-serikandi hebat ini. Aku begitu tertarik dengan kisah Rabiatul Adawiyah. Beliau merupakan seorang yang telah diangkat darjatnya menjadi sorang wali di sisi Allah s.w.t. Merupakan puteri bongsu daripada empat adik beradik.Anak kepada Ismail al-Adawiy yang merupakan seorang guru agama pada zamannya. Kecerdikan dan keluhuran hatinya untuk mendalami ilmu Allah telah membezakannya daripada kanak-kanak lain yang seusianya. sejak berumur 10 tahun, beliau telah menghafal 30 juzuk al-quran. Menerima pelbagai ujian bermula dengan kematian kedua ibu bapanya. Diikuti dengan kisah penculikannya dan kemudiannya dijual sebagai hamba dan beberapa ujian-ujian lain lagi.

Kecintaannya kepada Allah melebihi segala-galanya hingga menolak setiap lamaran yang diterimanya hatta lamaran seorang raja kerana tidak mahu masanya bersama kekasihnya diganggu. Beliau juga sanggup berlapar daripada menerima pemberian orang yang pada hematnya belum terjamin lagi halal dan haramnya. Beliau mempunyai budi pekerti yang baik, luhur bicaranya, serta mempunyai kecerdikan yang sangat mengagumkan sehingga guru-gurunya kembali berguru dengannya.

Tahajjud dan amalan-amalan sunat menjadi bekalannya saban waktu. Pada malam hari hanya seketika sahaja masa yang diperuntukan olehnya untuk berehat. Selebihnya digunakan untuk beribadat dengan kekasihnya. Beliau sering berkata:

"Wahai diri ini,
Banyak mana masa untuk tidur?
Sampai bilakah dirimu terlelap?
Saat yang dijanjikan sudah hampir sahaja.
Saat akan ditidurkan kamu hingga dipaksa bangun pada hari kiamat."

Mampukah kita menjadi seperti serikandi-serikan ini? Beberapa jam berlalu tidak kurasakan apabila membaca riwayat kisah-kisah mereka. Sesungguhnya kisah-kisah begini harus dijadikan ikutan dalam meniti arus kemodenan semasa. Kerendahan dan keluhuran diri bermula daripada hati yang suci dan iman yang sejati.

0 comments:

Post a Comment