Penulis: Nurul Ain Syuhada
Terbitan: Karya Seni Enterprise
Jumalah Halaman: 596 muka surat

"Oi cicak kobeng! Ayat aku tu! Yang kau sibuk-sibuk ciplak buat karya sendiri pulak apehal? Ayat aku tu milik aku secara rasmi tau tak!" Aku semburkan ayat-ayatku di hadapan wajahnya.

Nur Alia Airysha, seorang gadis yang datang sari kampung ke Kuala Lumpur dengan niat untuk mengumpul duit demi keluarga dan membiayai kos pembelajarannya. Dengan bantuan sahabat alongnya, Kak Yati, Airysha bekerja di sebuah butik terkemuka yang dimiliki oleh Datin Aleeya. Muhammad Danial Franz, seorang pemuda kacukan Perancis yang berkelulusan dari luar negara kembali ke Malaysia dan bekerja di bawah papanya, Dato' Eddy di sebauh syarikat besar. Menemukan Airysha yang brutal dengan Danial di butik mami Dania, Datin Aleeya! Danial ingin dapatkan Airysha tanpa merendahkan egonya. Danial membawa Airysha untuk bertemu orang tuanya untuk dikahwinkan. Tetapi perkahwinan ini bersyarat! Kontrak yang direka Danial di pandang remeh oleh Airysha.

Disaat akad nikah hampir tiba, Airysha menyusun strategi untuk lari! Airysha mengambil keputusan untuk membatalkan kontrak tersebut. Lantas sekeping kertas yang tertera kontraknya, dibuang. Apa yang bakal terjadi seterusnya? Adakah perkahwinan masih diteruskan? Bagaimana kehidupan Airysha selepas ini? Bahagiakah dia? Bagaimana pula penerimaan Danial terhadap perangai brutal Airysha? Bila senduk bertemu kuali, bila api bertemu sumbu bom, apa yang akan terjadi?

"Kontrak! Kontrak! Kontrak! Itu aje yang kau tau nak sebut? Yelah! Yelah! Aku yang buang. Aku tak puas hati dengan syarat-syarat dia. Ada ke aku sebagai seorang perempuan, kena tido atas sofa? Kau ni manusia takde hati, takde perut!" selorohku. Dalam masa yang sama, aku cuba melepaskan diri daripada rangkulannya. Danial mendengus perlahan.

Penulis: Zahiruddin Zabidi
Terbitan: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Jumlah Halaman: 464 muka surat                                 

Inilah tiga kisah indah berkenaan seindah-indah hiasan dunia, perempuan yang solehah. Kisah yang menerbitkan air-mata, yang melahirkan syukur dan menyuntik tenang. Kisah riwayat hidup Aminah, Fatimah dan Rabiatul Adawiyah.

Sejurus melabuhkan muka surat terakhir buku ini, teringin rasanya hati berkongsi dengan pembaca sekalian penceritaan riwayat hidup serikandi-serikandi hebat ini. Aku begitu tertarik dengan kisah Rabiatul Adawiyah. Beliau merupakan seorang yang telah diangkat darjatnya menjadi sorang wali di sisi Allah s.w.t. Merupakan puteri bongsu daripada empat adik beradik.Anak kepada Ismail al-Adawiy yang merupakan seorang guru agama pada zamannya. Kecerdikan dan keluhuran hatinya untuk mendalami ilmu Allah telah membezakannya daripada kanak-kanak lain yang seusianya. sejak berumur 10 tahun, beliau telah menghafal 30 juzuk al-quran. Menerima pelbagai ujian bermula dengan kematian kedua ibu bapanya. Diikuti dengan kisah penculikannya dan kemudiannya dijual sebagai hamba dan beberapa ujian-ujian lain lagi.

Kecintaannya kepada Allah melebihi segala-galanya hingga menolak setiap lamaran yang diterimanya hatta lamaran seorang raja kerana tidak mahu masanya bersama kekasihnya diganggu. Beliau juga sanggup berlapar daripada menerima pemberian orang yang pada hematnya belum terjamin lagi halal dan haramnya. Beliau mempunyai budi pekerti yang baik, luhur bicaranya, serta mempunyai kecerdikan yang sangat mengagumkan sehingga guru-gurunya kembali berguru dengannya.

Tahajjud dan amalan-amalan sunat menjadi bekalannya saban waktu. Pada malam hari hanya seketika sahaja masa yang diperuntukan olehnya untuk berehat. Selebihnya digunakan untuk beribadat dengan kekasihnya. Beliau sering berkata:

"Wahai diri ini,
Banyak mana masa untuk tidur?
Sampai bilakah dirimu terlelap?
Saat yang dijanjikan sudah hampir sahaja.
Saat akan ditidurkan kamu hingga dipaksa bangun pada hari kiamat."

Mampukah kita menjadi seperti serikandi-serikan ini? Beberapa jam berlalu tidak kurasakan apabila membaca riwayat kisah-kisah mereka. Sesungguhnya kisah-kisah begini harus dijadikan ikutan dalam meniti arus kemodenan semasa. Kerendahan dan keluhuran diri bermula daripada hati yang suci dan iman yang sejati.
Assalamualaikum pembaca sekalian.
Lembaran catatan 2012 aku mulakan apabila Jun menjelma.
Walaupun catatan 2012 hanya dimulakan setelah Jun tiba, tidak bermakna minat membaca dan kecintaanku terhadap buku dan ilmu telah ku abaikan.
Komitmen dan tanggungjawab semakin bertambah sejak ku bergelar pelajar semula.
Desakan dan tekanan kerja sebagai guru semakin bertambah apabila memegang gelaran guru 'senior'.
2012 merupakan tahun ketiga aku bergelar guru. Semakin lama aku bekerja, semakin bertambah keyakinan dan kepercayaan yang diberikan untuk memegang pelbagai jawatan. 
Ini semua tidak menghalang minatku untuk membaca.
Namun untuk ku coretkan di sini agak membataskanku.
Ditambah pula dengan tugasanku sebagai seorang pelajar yang harus ku selesaikan.

Bagaimanapun, inginku sampaikan disini, teruskanlah membaca, ambillah seberapa banyak ilmu yang ada, tingkanlah keupayaan berfikir serta janganlah lokek untuk berkongsi kerana sesungguhnya semua itu daripada Allah. Amatlah rugi sekiranya kita tidak mengambil iktibar dan manfaat daripada ilmu yang ada. Ingatlah, dengan ilmu sahaja yang dapat membezaka kita dengan mereka yang tidak berilmu. Dengan ilmu juga lah yang dapat membantu kita menjadi sebaik-baik insan di dunia dan akhirat.